Sekolah

SEJARAH SEKOLAH
Sejarahnya bermula ketika Kelas Menengah Aliran Melayu di bawah kelolaan Guru Besarnya Encik Yawanarajah menumpang di SRJK (1) Batu Kikir pada sesi petang sehingga penghujung tahun 1964.

Pada Januari 1965, Sek. Men. Batu Kikir telah ditubuhkan di bawah Guru Besarnya Encik Mohd Yusuf bin Kassim. Pelajar-pelajarnya terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah kebangsaan yang berhampiran (pada awalnya menumpang di bangunan Sekolah Kebangsaan Batu Kikir pada sesi petang).

Pada bulan Disember 1969, Sekolah Menengah Aliran Inggeris telah digabungkan dengan Sekolah Menengah Batu Kikir dan pengetuanya yang pertama ialah Encik Mohd Yusof bin Kassim.

Sekolah mengadakan Peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) pada tahun 1967 dan pengambilan pelajar tingkatan empat dalam tahun 1968 bagi aliran sains dan sastera. Sekolah Menengah Batu Kikir telah dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Dr Mahathir Mohammad pada 14 Ogos 1976 selaku timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia.

Asrama pertama sekolah bermula pada tahun 1974 yang dinamakan sebagai asrama RISDA. Ditempatkan di rumah rakyat 2 Batu Kikir seramai 40 orang pelajar, 20 orang lelaki dan 20 orang perempuan. Oleh kerana sambutan yang menggalakkan maka sekolah telah mendapatkan sebuah asrama yang baru pada tahun 1980 yang boleh menampung seramai 240 orang pelajar lelaki dan perempuan.

Pada tahun 1984, sebuah surau telah didirikan bersebelahan dengan asrama untuk menjalankan kegiatan bercorak keagamaan. Surau tersebut telah dirasmikan oleh YAB Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Tan Sri Haji Mohd Isa bin Haji Abdul Samad pada 06 Ogos 1991.

Pada tahun 1985, sekolah telah membeli beberapa unit komputer untuk digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran dan telah dirasmikan oleh Dato’ Seri Utama Tan Sri Haji Mohd Isa bin Haji Abdul Samad pada September 1989. Pada penghujung tahun 2008, Makmal Komputer siap dibina dan kini dalam proses memasukkan peralatan ICT.

Astaka Sekolah dibina pada tahun 1985 untuk kegunaan aktiviti-aktiviti sukan sekolah ini. Pada 1989, sekolah mendapat peruntukan membina sebuah bangunan kayu bagi menampung kekurangan bilik darjah i. Bangunan baru dua tingkat dibina pada tahun 1990 dan telah dirasmikan pada 6 Ogos 1991 oleh Menteri Pendidikan Malaysia, Dato’ Dr Haji Sulaiman bin Haji Daud.

Pada bulan Julai 2002, SMKBK telah menjadi sekolah perintis yang melaksanakan projek Sekolah Model Khas ke arah pendidikan yang berkesan berkonsepkan gabungan pendidikan rendah dan menengah yang pertama di Negeri Sembilan. setelah lima tahun pelaksanaan, pada tahun 2007, sekolah telah mendapat pencapaian terbaik UPSR di Negeri Sembilan dengan 11 orang murid memperoleh 5A dan dua orang murid mendapat 4A, 1B.

Pada bulan September 2007, perasmian bangunan tambahan sekolah telah disempurnakan oleh Y.A.B. Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan.